KUALA PILAH – Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kereta ketika cuba melintas di Kilometer lima, Jalan Kuala Pilah – Tampin, dekat Senaling, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, mangsa berusia 88 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera pada kepala.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, nahas berlaku ketika pemandu kereta jenis Nissan Sentra terlanggar mangsa yang sedang melintas di sebelah kiri jalan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.