BALING – Tiga beranak melalui detik cemas apabila dihanyutkan arus deras ketika banjir melanda kawasan rumah mereka di Kampung Haji Abas, di sini awal pagi tadi.
Jaafar Mat Hashim, 61, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika dia bersama ibunya, Aishah Abas, 88, dan anaknya, Mohd Hanafi Jaafar, 28, ingin menyelamatkan diri setelah air masuk ke dalam rumah sehingga paras dada.
“Apabila saya lihat air banjir hampir kena meter elektrik, saya ambil keputusan keluar rumah kerana bimbang arus elektrik yang mengalir dan mungkin membahayakan keselamatan kami.
“Saya terus mengendong ibu di belakang dan kami bertiga meredah banjir yang kedalamannya mencecah paras dada dalam keadaan gelap kerana lampu jalan telah terpadam,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya ketika itu, anaknya mahu berpatah balik kerana bimbang dihanyutkan tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian kerana ditolak arus deras.
“Keadaan menjadi semakin cemas apabila air sudah melepasi kepala, namun saya bernasib baik kerana sempat capai dahan pokok manggis.
“Seterusnya dengan sepenuh tenaga, saya mengepit ibu dengan kedua-dua belah kaki di bahagian hadapan lalu menolaknya naik ke atas dahan pokok,” ceritanya.
Katanya, anaknya pula sempat mencapai dahan pokok kuini dan terus naik ke atasnya.
“Ketika itu kedua-dua pokok itu hanya kira-kira tiga meter sahaja dari tebing sungai dan di hadapan kami ada anak sungai yang arusnya juga deras dan dalam.
“Kami terperangkap di atas pokok hampir sejam yang mana jaraknya dari rumah kira-kira 50 meter sahaja. Nasib baik ada orang kampung dan anggota bomba datang selamatkan kami,” ujarnya.
Katanya lagi, mereka bernasib baik kerana telefon bimbit anaknya masih berfungsi meskipun telah ditenggelami air untuk menghubungi bomba.
“Saya bersyukur Allah melindungi kami daripada terus hanyut. Ia mungkin asbab saya membawa ibu yang uzur. Waktu itu sebenarnya saya sudah pasrah jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas kami bertiga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE