MADRID – Pelumba berpengalaman, Dani Pedrosa mendedahkan cara untuk menewaskan Francesco Bagnaia dengan tidak membiarkan dia berada dalam ‘zon selesa’ kerana ia mampu memberi kelebihan buatnya pada mana-mana perlumbaan.
Sebagai rekod, perebutan gelaran juara dunia MotoGP semakin sengit menjelang empat perlumbaan terakhir musim ini apabila Jorge Martin hanya mendahului Bagnaia dengan perbezaan 10 mata.
Bagnaia yang mesra dengan gelaran Pecco itu berjaya mengurangkan jurang dengan Martin selepas menang perlumbaan pecut dan Grand Prix di Jepun.
Menurut Pedrosa, kemampuan juara dunia dua kali itu untuk mengawal jentera dengan cemerlang dilihat menjadi kekuatan utamanya sejak beberapa perlumbaan lepas.
“Melihat perlumbaan pada sepanjang musim, memang agak mudah untuk saya bercakap menerusi kedudukan saya sekarang (selaku pemerhati bebas).
“Anda tidak boleh biarkan Pecco berlumba sendiri. Dalam kes ini (ketika GP Jepun), Martin tidak mampu raih keputusan lebih baik (daripada tempat kedua) kerana bermula dari petak ke-11.
“Tetapi, sepanjang musim ini, kita sudah dapat saksikan Bagnaia berjaya memimpin perlumbaan dengan baik.
“Anda perlu mencari jalan untuk mengeluarkannya daripada zon ini di mana dia begitu fokus apabila sudah memimpin perlumbaan,” kata Pedrosa. – AGENSI