TUMPAT – Seorang pemandu treler tidak sempat menyeludup sebanyak 41 tan buah kelapa ke Thailand selepas dicekup di sekatan jalan raya (SJR) Neting, Pengkalan Kubor, di sini semalam.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 10.15 malam semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota bertugas menahan sebuah treler jenis Volvo di SJR itu selepas mendapati kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan pada bahagian belakang treler itu menjumpai sebanyak lebih 41,000 kilogram kelapa yang tiada dokumen sah.
“Siasatan mendapati, lelaki itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup buah kelapa tersebut ke negara jiran.
“Nilai rampasan termasuk treler tersebut dianggarkan bernilai RM205,000. Suspek dan semua barang rampasan diserahkan kepada kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Peraturan 4(2)(b) Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.
Tambahnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara. – KOSMO! ONLINE