JOHOR BAHRU – Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mendapat suntikan semangat terbaik dalam persediaan mereka menghadapi Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia yang berlangsung dari 3 hingga 9 Februari tahun depan.
Ia selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan kerjasama dengan Mizuno Malaysia Sdn. Bhd. sebagai penaja jersi baharu yang akan digunakan mereka pada kejohanan berprestij dunia tersebut di Pusat Sukan Zatika itu nanti.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal turut mendedahkan, kerjasama selama setahun dengan peruntukan lanjutan setahun lagi itu membabitkan pakaian dan kasut buat para pemain sewaktu sesi latihan serta kejohanan.
Kerjasama itu juga bukan sahaja buat skuad dalam dewan lelaki tetapi turut melibatkan skuad senior dan remaja wanita serta dalam dewan wanita kebangsaan.
“Antara sebab lain mengapa MHC bersetuju untuk Mizuno Malaysia menyertai kami adalah kerana mereka merupakan sebuah jenama hebat. Kami teruja di atas kerjasama ini yang merupakan satu penghormatan buat kami,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara MHC dan Mizuno di Johor Bahru semalam.
Tambah Subahan, pihak penaja juga sedar skuad senior dan remaja wanita mempunyai masa depan cerah selain dianggap antara pasukan terbaik di Asia.
Malaysian Tigress bakal beraksi pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita di Bihar, India bermula 11 hingga 21 November ini sementara pasukan ‘adik’ akan bermain di Piala Remaja Asia Wanita di Muscat, Oman pada Disember depan.
“Saya percaya skuad remaja wanita akan melayakkan diri ke Piala Dunia secara merit buat kali pertama.
“Dengan terjalinnya kerjasama ini juga akan memberi suntikan tambahan kepada para pemain. Kami mahu membawa jenama ini ke dalam Piala Dunia Remaja,” jelas Subahan. – KOSMO! ONLINE