fbpx

Cobra B14 mengganas di Bali, sinar ragbi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALDILLAN (kanan) bersama kapten skuad senior Cobra, Nazhiim Shahruddin (kiri) yang bertindak sebagai pembantu jurulatih Cobra A dan B pada Kejohanan BRC Junior 7s 2024, Bali baru-baru ini.

PETALING JAYA – Masa depan sukan ragbi negara dilihat cerah susulan kejayaan pasukan Cobra bawah 14 tahun (B-14) menjuarai Kejohanan Kelab Ragbi Bali (BRC) Junior tujuh sebelah (7’s) yang berlangsung di Lapangan Yoga Perkanthi Jimbaran, Bali, Indonesia baru-baru ini.

Cobra A menunjukkan prestasi cemerlang dengan mencatat dua kemenangan selesa berturut-turut menewaskan Denpasar 57-0 dan Palmyra B 43-0 dalam aksi peringkat kumpulan yang terdiri daripada enam pasukan.

Di separuh akhir, mereka tiada masalah merakam kemenangan 31-0 ke atas tuan rumah BRC sebelum menewaskan ‘jentera’ dari Australia, Palmyra B 41-5 dalam perlawanan akhir untuk dinobatkan sebagai juara.

Cobra B yang memulakan kejohanan dengan baik menewaskan Palmyra A 24-5 dan BRC 12-5, terpaksa akur meraih tempat ketiga selepas tewas 12-20 kepada Palmyra B di separuh akhir.

Ketua jurulatih Cobra B-14, Datuk Aldillan Anuar berkata, strategi yang diterapkan Cobra A dan Cobra B adalah memfokuskan kepada pergerakan bola, mencari ruang dan bermain mengikut kekuatan pasukan masing-masing memandangkan permainan berformat 7’s.

“Kejayaan bertaraf antarabangsa kedua-dua pasukan kali ini adalah rentetan kejayaan Cobra B14 di Kejohanan Ragbi Antarabangsa Bangkok 10s 2024, Thailand sebagai naib juara pada Februari lalu.

“Bukan itu sahaja, selepas kejohanan dua hari, Cobra B14 juga telah berdepan dengan perlawanan persahabatan 10’s menentang pasukan tempatan Indonesia, Denpasar dengan keputusan 18-10,” katanya.

Aldillan yang juga Naib Presiden Kesatuan Ragbi Selangor menjelaskan, beliau bersama barisan jurulatih sentiasa berusaha memantapkan kemahiran para pemain, bukan sahaja untuk kejohanan semasa tetapi juga sebagai persediaan jangka panjang bagi membentuk barisan muda negara.

“Menang itu bonus tetapi bermain dengan baik dan mengutamakan kerja berpasukan sebagai kunci utama kejayaan adalah falsafah pasukan ini.

“Saya berharap barisan pemain dan jurulatih dapat mengekalkan konsistensi untuk terus tampil cemerlang dalam pelbagai sudut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI