KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki termasuk dua remaja bawah umur berhubung kes empat pelajar yang melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semua suspek yang terlibat ditahan di kediaman mereka di ibu negara pada Jumaat lalu.
Katanya, suspek pertama berusia 20 tahun direman sehari pada Sabtu manakala suspek kedua, 15, dan suspek ketiga, 13, tidak direman kerana bawah umur.
“Semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai dirakam keterangan pada pukul 7 petang Sabtu.
“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada doktor perubatan,” katanya ketika ditanya pemberita, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis membuka dua kertas siasatan berkait amang seksual dan penderaan selepas empat pelajar yang melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat sejak Isnin lalu, ditemui di Bangi pada Jumaat.
Rusdi berkata, pemeriksaan pihak hospital menemui kesan kecederaan lebam pada tubuh badan keempat-empat kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga 14 tahun.
Kesan lebam itu dipercayai diperoleh semasa mangsa berada di pusat tahfiz tersebut.
Tambah beliau, semua kanak-kanak itu baharu sahaja menuntut di pusat tahfiz berkenaan kurang satu tahun.
Jelas Rusdi, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka dibuli namun akan menjalankan siasatan dengan teliti sebelum tindakan seterusnya diambil.
Dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE