KOTA TINGGI – Dua pengurus dan seorang penjaga lembu di sebuah resort GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melibatkan pemerdagangan manusia dan amang seksual fizikal.
Tertuduh, Muhammad Ansarullah Tukino, 20, Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Mohd Shash, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapkan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Tertuduh, Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah berdepan empat pertuduhan yang mana mereka bersama tiga suspek masih bebas iaitu Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani dan Norafiratul Abidah Ismail didakwa memperdagangkan empat individu yang bukan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi kerja secara paksa dengan cara ancaman.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa iaitu tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia 30 hingga 57 tahun di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang di sini, antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.
Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Fathul Anwar Muin.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM40,000 dengan dua penjamin berserta semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 November depan.
Dalam pada itu, Muhammad Ansarullah dituduh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 16 tahun dengan cara meraba paha dan kemaluan kanak-kanak tersebut di Surau Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar pukul 10 malam pada 1 dan 3 Jun lalu.
Ekoran itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga di hukum dengan hukuman sebat.
Tertuduh juga boleh diperintah kaunseling pemulihan, diletakkan di bawah pengawasan polis dan membayar pampasan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Zaim Rusli memberitahu, anak guamnya hanya bersedia dengan RM8,000 untuk ikat jamin yang akan dibayar oleh abangnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 November depan. – KOSMO! ONLINE