KUALA LUMPUR – Rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) wanita milik G. Shanti yang berusia 31 tahun akhirnya lebur di tangan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.
Zaidatul yang mesra dengan panggilan Adik melakukan catatan masa 11.49 saat (s) ketika memenangi kejohanan Terbuka Perlis hari ini, memadam rekod 11.50s yang dilakukan Shanti di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Pingat perak dimenangi Nur Afrina Batrisyia Rizal dengan catatan 11.91s manakala gangsa menjadi milik Azreen Nabila Alias menerusi 12.00s.
Pencapaian itu pastinya memberi kepercayaan baharu buat skuad olahraga kebangsaan dalam persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand tahun depan.
Pada 2017, Zaidatul pernah mengatasi rekod Shanti selepas mencatat 11.36s, namun catatan masa itu tidak dikira dengan alasan menerima bantuan angin. – KOSMO! ONLINE