MATURIN, Venezuela – Hasrat Argentina untuk meraih kemenangan disekat Venezuela selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada aksi yang berlangsung di Estadio Monumental Maturin pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, juara Piala Dunia 2022 itu turut diperkuat oleh bintang sensasi yang juga ketua pasukan mereka, Lionel Messi yang kembali pulih daripada masalah kecederaan yang dialami ketika aksi final Copa America menentang Colombia Julai lalu.
Kehadiran Messi berjaya membantu Argentina membuka tirai jaringan pada minit ke-13 selepas sepakan percumanya ditepis penjaga gol sebelum bola jatuh ke kaki Nicolas Otamendi yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang.
La Albiceleste turun tanpa khidmat penjaga gol, Emiliano Martinez yang digantung dua perlawanan dan digantikan oleh Geronimo Rulli berjaya menafikan percubaan Venezuela menerusi Solomon Rondon yang memiliki peluang pada babak pertama.
Namun, gawang skuad kendalian Lionel Scaloni itu bocor juga apabila Rondon berjaya menyudahkan hantaran lintan Yeferson Soteldo dengan menanduk masuk bola pada minit ke-65 untuk mereka berjaya meraih satu mata pada aksi di laman sendiri itu.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Scaloni melakukan pertukaran dengan membawa masuk Leandro Peredes dan Lautaro Martinez untuk memburu gol kemenangan, namun kedua-duanya gagal memberikan impak ekoran padang yang tidak berada dalam keadaan baik.
“Ia perlawanan yang buruk, kami tidak mampu untuk membuat dua hantaran sekali gus apabila bola sentiasa tersekat kerana air membanjiri padang. Sangat sukar untuk bermain dalam keadaan padang seperti ini,” kata Messi.
Perlawanan tersebut sebelum itu terpaksa ditangguhkan hampir setengah jam ekoran hujan lebar dan keadaan itu menyebabkan kedua-dua pasukan gagal memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan ekoran permukaan padang yang lecak.