MELAKA – Seorang buruh warga asing maut manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera dalam kejadian runtuhan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Senjuang, Bandar Hilir di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut merupakan warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, manakala dua lagi yang terselamat ialah warga Pakistan, Zubair Ahmad, 32, dan Abbas Ghulam, 49.
Menurutnya, Jidan maut dipercayai akibat kecederaan parah dari pinggang ke bawah, manakala dua yang lain cedera pada leher, bahu, tangan dan kepala.
“Dalam kejadian pukul 6 petang itu, semua mangsa dipercayai sedang bekerja di tingkat bawah sebelum lantai konkrit di tingkat satu tiba-tiba runtuh menyebabkan mereka terperangkap.
“Zubair merupakan mangsa pertama ditemui selamat dan berjaya dikeluarkan dari bahagian tepi celahan runtuhan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 6.40 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.
Jelasnya, mangsa kedua pula ditemui selamat dan dibawa keluar dari bahagian tengah runtuhan kira-kira pukul 8.45 malam.
“Mangsa ketiga warga Bangladesh ditemui pihak bomba dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit. Hampir sejam usaha membawanya keluar daripada runtuhan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba I R. Saiful Iswandy R. Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.18 petang.
Ujarnya, seramai 81 pegawai dan anggota termasuk 35 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) digerakkan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan Melaka Tengah tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit sebelum menggerakkan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE