fbpx

Sekolah siap siaga hadapi banjir musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kanan) merasmikan HSN peringkat Terengganu di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berikutan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, perancangan telah diatur dengan rapi bagi memastikan semua sekolah terutama di lokasi berisiko mampu berdepan bencana alam tersebut dengan lebih baik dan terurus.

Beliau berkata, semua sekolah yang telah dikenalpasti dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kini berada pada tahap bersedia menerima kemasukan mangsa banjir pada bila-bila masa.

“Pelan alternatif juga telah disediakan bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (ekoran laluan keluar masuk ditenggelami air).

“Semua perancangan rapi ini bertujuan agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa walaupun musim banjir kelak,” katanya di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Terengganu yang melibatkan lebih 5,000 murid dan pelajar seluruh negeri ini.

Azman berkata, taklimat prosedur operasi standard (SOP) dan pelan alternatif sekiranya peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung dalam tempoh banjir juga telah selesai diberikan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI