DUNGUN – “Saya seikhlas hati dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada semua keluarga mangsa dan semua pihak atas apa yang berlaku.
Seboleh-bolehnya saya mahu bersujud kepada mereka untuk meminta maaf bagi pihak isteri saya.”
Itu luahan suami wanita yang merempuh dua buah motosikal dinaiki empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun sehingga meragut tiga nyawa pada Rabu lalu.
Lelaki berusia 53 itu berkata, hatinya meronta mahu bertemu dengan keluarga mangsa untuk memohon maaf bagi pihak isterinya sejurus kejadian, namun dinasihatkan rakan-rakan serta pihak polis untuk menunggu sehingga keadaan reda.
“Pagi semalam (kelmarin), saya mahu ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk bertemu keluarga mangsa, namun sekali lagi rakan-rakan serta pihak polis menasihatkan agar ditangguhkan dahulu.
“Mereka bimbang niat baik saya disalah erti dan boleh mencetuskan situasi tidak diingini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menceritakan semula kejadian, Azhar mendakwa hanya menyedari isterinya keluar dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V selepas dia dan anak lelakinya selesai menunaikan solat maghrib.
Dalam kejadian 7.20 malam pada Rabu lalu, seorang suri rumah yang dipercayai mengalami kecelaruan mental direman selama empat bagi membantu siasatan selepas melanggar empat pelajar UiTM Dungun ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.
Nahas itu mengorbankan tiga mangsa iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25. Seorang lagi rakan mereka iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera parah.