JERANTUT – Isu pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang melibatkan kos sebanyak RM20 juta menampakkan sinar apabila ia akan dibawa ke Kementerian Kewangan dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, adalah tidak sepatutnya projek berkenaan dibatalkan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan menjadi keperluan mendesak pada masa ini.
“Sewaktu saya di Kementerian Kerja Raya (sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya) sebenarnya projek itu memang saya bangkitkan mesti dibina semula tetapi biasalah bila saya sudah keluar dari Kementerian Kerja Raya baru lah saya dapat maklumat ia dibatalkan terus.
“Untuk kemudahan orang negeri saya dan untuk kemudahan rakyat yang melalui sana tak sepatutnya ditarik balik kerana dengan jarak yang begitu jauh dari Kuala Lumpur hendak sampai jumpa destinasi pertama yang boleh kencing berak dan sebagainya adalah di Gua Musang,”katanya dalam sidang akhbar pada Program Sosial Sinergi Jom Daftar Aplikasi Sahabat Perkeso Prihatin di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan R&R di Lebuh Raya LTU.
Baginda bertitah, keputusan untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkenaan.
Menurut Abdul Rahman, pada masa ini, tapak di kedua-dua belah lebuh raya berkenaan telah disediakan di kawasan Relong di Lipis bagi pembinaan lebuh raya berkenaan.
Katanya, pembinaan di kawasan itu perlu dilakukan segera dan merupakan keperluan mendesak kepada pengguna jalan raya selain mengelakkan masalah pembuangan sampah yang berlaku saban tahun khususnya pada waktu cuti perayaan. – KOSMO! ONLINE