fbpx

Lagi kedai makan kotor, ada najis tikus ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah premis makanan di George Town diarah tutup 14 hari susulan penemuan najis tikus di dapur, semalam.

GEORGE TOWN – Sebuah premis makanan di daerah Timur Laut, di sini, diarah tutup selama 14 hari apabila gagal mengendalikan tahap kebersihan selain terdapat najis tikus di bahagian dapur, semalam.

Menerusi kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Operasi Kebersihan melibatkan pasukan Zon Selatan, Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan(TIEM) Jabatan Pelesenan itu dijalankan bermula pada pukul 3.30 petang.

Menurutnya, pemeriksaan membabitkan lapan lagi premis makanan, lima premis tred dan perniagaan di sekitar Jelutong, Gelugor dan Batu Lanchang.

“Sebuah premis makanan telah diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa 11 Oktober (semalam) selepas menemui najis tikus di bahagian dapur (tempat memasak).

“Keadaan kebersihan premis tersebut juga didapati tidak memuaskan,” katanya di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, penguatkuasaan dan pemeriksaan secara mengejut itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan semua premis perniagaan.

Rabu lalu, MBPP telah mengarahkan penutupan serta-merta selama 14 hari ke atas sebuah premis perniagaan yang beroperasi di kawasan Batu Maung ekoran penemuan najis tikus.

Dalam operasi kebersihan tersebut, sebanyak empat Notis Tawaran Kompaun (NTK) telah dikeluarkan atas kesalahan ketidakpatuhan meletakkan peralatan perniagaan serta menyebabkan sekatan laluan di siar kaki lima dan meletakkan makanan kurang dari 20 sentimeter dari paras lantai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI