KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendedahkan tawaran gaji maksimum kepada mana-mana jurulatih yang berminat mengendalikan skuad Harimau Malaya adalah langkah yang tepat.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang menyifatkan ia sebagai simbolik bahawa badan induk bola sepak negara itu memiliki kemampuan untuk berbelanja ‘mewah’.
Menurut Azlan, pasti ramai jurulatih luar negara yang merasakan mereka bagus akan menawarkan diri untuk menjadi pengendali baharu skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
“Sebenarnya tiada masalah pun kalau FAM mahu mendedahkan tawaran gaji maksimum sehingga RM200,000 atau sebagainya kerana itu menunjukkan mereka mempunyai dana dan kemampuan.
“Saya pasti itu juga salah satu strategi pemasaran untuk memancing agar jurulatih-jurulatih yang merasakan mereka bagus untuk menawarkan diri menjadi pengendali skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sebagai rekod, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya bersedia untuk membuat pelaburan besar kerana kos yang diperlukan untuk memantapkan skuad kebangsaan agak tinggi.
Mengulas lanjut, Azlan percaya angka RM200,000 itu dianggap relevan dan masih kecil buat pengendali import jika nilai tersebut ditukar kepada dolar Amerika Syarikat (AS$) hanya sekitar AS$50,000.
“Saya rasa wajar untuk FAM menawarkan gaji RM200,000 sebulan kerana setiap tahun nilai bola sepak kebangsaan akan naik.
“Peminat juga perlu ingat bahawa kita akan bayar dengan AS Dollar dan angka tersebut pastinya masih kecil bagi mereka.
“Cuma, persoalan yang perlu diberikan adalah apa KPI (petunjuk indeks prestasi) yang perlu kita berikan kepada mereka kerana kita tidak mahu Malaysia dijadikan sebagai destinasi ‘pelancongan percuma’,” katanya lagi.
Sebelum ini, nama bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo terus menjadi sebutan untuk diangkat sebagai pengendali tetap Harimau Malaya bagi menggantikan tempat ditinggalkan Kim Pan-gon.
Bagaimanapun, hasrat untuk mendapatkan khidmat Hang-seo bakal memaksa FAM mengeluarkan dana lebih besar memandangkan laporan di Vietnam mendakqa pengendali kelahiran Korea Selatan itu menerima gaji sekitar RM218,000 sebulan daripada Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF).