fbpx

Kanak-kanak GISBH tonton video militan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah rumah amal yang diserbu pihak berkuasa dalam Op Global di Selangor.

KLANG – Fahaman jihad militan dipercayai antara yang diserapkan pada diri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holding (GISBH).

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, fahaman itu didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.

Katanya, maklumat tersebut adalah antara sumber yang diperoleh pihaknya daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka pintar, pandai mengaji, mengeja dan mengira, tetapi ajaran diberikan kepada mereka bukan konsep jihad yang betul.

“Kita bimbang fahaman yang salah dalam konsep jihad militan ditanam dari peringkat akar umbi tersebut boleh membawa ancaman bahaya kepada masyarakat pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 di sini, hari ini.

Justeru, kata beliau, kesemua kanak-kanak itu bukan sahaja akan menjalani pemulihan membabitkan akidah tetapi turut dipantau dari sudut psikologi serta perkembangan tumbesaran.

Mohammad Fahmi memaklumkan, mesyuarat pertama pasukan petugas pemulihan kanak-kanak GISBH baru-baru ini telah membentuk enam kumpulan kerja.

Ini terdiri pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta pakar lain termasuk dalam bidang psikologi.

“Kerajaan negeri perlu melihat isu ini secara holistik, bukan sekadar mahu membetulkan akidah dan rukun Iman mereka tetapi juga soal emosi dan psikologi.

“Malah, tahap nutrisi juga akan ditekankan kerana ada antaranya bentuk badan seperti umur tujuh tahun walaupun sebenarnya sudah 10 tahun,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI