OSLO – Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland akhirnya meleburkan rekod 87 tahun apabila menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman selepas membantu pasukan itu menewaskan Slovenia 3-0 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Haaland yang menjadi kapten pasukan berjaya menjaringkan dua gol sekali gus memadam rekod dilakukan oleh legenda Norway, Jorgen Juve selepas meledak 33 gol dalam 45 penampilan antarabangsa pada 1937.
Penyerang Manchester City itu kini sudah meledak 34 gol dalam 36 penampilan sejak membuat debut pertama pada 2019.
Haaland mengakui angka tersebut hanyalah permulaan kerana perjalanan kariernya baru bermula dan mahu mencapai lebih banyak kejayaan bersama skuad kebangsaan atau di peringkat kelab.
“Secara peribadi, saya sangat bangga dengan kejayaan ini kerana rekod kali ini cukup besar dan bersejarah. Namun, saya masih lagi muda serta banyak lagi yang perlu dicapai dalam karier dan saya tidak boleh berpuas hati.
“Apa yang pasti, bukan mudah untuk pecahkan mana-mana rekod terutama apabila ia sudah bertahan hampir 90 tahun,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Sementara itu, Haaland turut memberi bayangan bakal bergelar bapa selepas meraikan jaringan dengan memasukkan bola dalam jersi yang dipakainya.
Difahamkan, Haaland mempunyai hubungan dengan Isabel Haugseng Johansen yang juga merupakan seorang pemain bola sepak bersama kelab wanita di Norway dan mereka berdua dijangka menimang cahaya mata pertama dalam masa terdekat. – AGENSI