fbpx

Ganjaran RM1 juta diperuntukkan kepada PIBK Cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz menerima cenderamata selepas merasmikan program itu di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan ganjaran berjumlah RM1 juta kepada pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) berdaftar yang mencatatkan prestasi cemerlang tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ganjaran menerusi peruntukan zakat itu akan dilakukan bersandarkan penilaian menyeluruh pihaknya termasuk keberkesanan program dan komitmen PIBK dalam menjalankan aktiviti berkaitan hal ehwal Islam dengan masyarakat terutama di Selangor.

“Ganjaran itu antaranya diberikan kepada pertubuhan yang komited menangani isu ancaman akidah dan sosial selain diukur mengikut penilaian prestasi serta keberkesanan bagi tempoh setahun.

“Pemberian itu diharap mendorong semua PIBK terus mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam di negeri ini,” katanya selepas merasmikan program Seminar Pemerkasaan PIBK MAIS 2024 di sini, hari ini.

Seminar dihadiri puluhan peserta itu turut melibatkan perkongsian mengenai Pendaftaran Pengurusan Pertubuhan mengikut Sistem Undang-Undang Berdaftar Pertubuhan dan pengenalan Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (COGG).

Menurut Abdul Aziz, pihaknya setakat ini mempunyai sebanyak 93 PIBK yang dibahagikan kepada 10 kluster antaranya melibatkan dakwah dan Islah, pemantapan akidah, pembangunan muallaf, pemulihan Riqab dan kebajikan fakir miskin serta anak yatim.

Antara PIBK berdaftar di bawah MAIS iaitu Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias); Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global (MCG) dan Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI