LONDON – Bekas pengurus pasukan kebangsaan England, Gareth Southgate akhirnya membuka mulut mengenai masa depannya selepas dihimpit spekulasi bahawa beliau mungkin menggantikan Erik Ten Hag sebagai pengurus Manchester United.
Pengurus berusia 54 tahun itu telah dikaitkan dengan jawatan pengurusan di Old Trafford sebelum bermulanya Euro 2024 dengan pemegang saham utama baharu United, Sir Jim Ratcliffe yang dikatakan peminat tegar Southgate turut menyemarakkan spekulasi tersebut.
Meskipun pengalaman pengurusan kelab Southgate sebelum ini hanya tertumpu di Middlesbrough dari 2006 hingga 2009, prestasi Ten Hag yang semakin goyah telah membuka ruang buat bekas pengurus England itu untuk kembali mengemudi kelab.
Permulaan buruk musim ini menambah tekanan kepada Ten Hag yang kini menghadapi salah satu cabaran terbesar dalam kerjayanya untuk mengekalkan jawatan di Old Trafford.
Southgate meninggalkan posisinya sebagai pengurus England sejurus selepas kekalahan kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2024 setelah membawa pasukan itu ke empat suku akhir berturut-turut, termasuk dua final dan satu aksi separuh akhir.
“Saya tidak akan mengambil sebarang tugas untuk tempoh setahun ini, itu pasti. Saya perlu memberikan diri saya masa untuk membuat keputusan yang bijak. Selepas keluar dari peranan besar seperti itu, anda perlu memberi badan dan minda masa untuk berehat,” ujar Southgate.
Kenyataan itu seolah-olah menutup pintu buat sementara waktu terhadap kemungkinan dia mengambil alih di Manchester United dan posisi Ten Hag di Old Trafford masih dianggap selamat buat masa ini, meskipun permulaan musim yang mengecewakan.
Manchester United kini jatuh di tangga ke-14 Liga Perdana selepas hanya tujuh perlawanan, dengan statistik membimbangkan selepas mereka hanya menjaringkan lima gol setakat ini iaitu kedua terendah dalam liga. – AGENSI