fbpx

Empat pelajar tahfiz larikan diri mungkin didera, dakwa tidak tahan – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat kanak-kanak yang dilaporkan melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu, ditemui semula di Bangi, Selangor, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis membuka dua kertas siasatan berkait amang seksual dan penderaan selepas empat pelajar yang melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat sejak Isnin lalu, ditemui kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pemeriksaan pihak hospital menemui kesan kecederaan lebam pada tubuh badan keempat-empat kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga 14 tahun.

Katanya, kesan lebam itu dipercayai diperoleh semasa mangsa berada di pusat tahfiz tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan dan ia dipercayai berlaku pada tempoh masa mereka berada di pusat tahfiz tersebut.

“Disebabkan mereka ini kanak-kanak, kita akan siasat dengan teliti dakwaan didera dan diperlaku seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, kesemua kanak-kanak itu baru sahaja menuntut di pusat tahfiz berkenaan kurang satu tahun.

Jelas Rusdi, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka dibuli namun akan menjalankan siasatan dengan teliti sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan daripada pihak tahfiz tersebut serta mangsa.

“Mereka juga mendakwa melarikan diri sebab tidak tahan dengan ‘keadaan’ di pusat tahfiz itu. Tetapi siasatan masih dijalan,” katanya.

Tambah beliau, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, Kosmo! melaporkan empat pelajar tahfiz yang hilang sejak Isnin lalu selepas keluar dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, di sini sudah ditemui kelmarin.

Bapa salah seorang kanak-kanak itu, Rashidi Othman, 53 memaklumkan kesemua mereka ditemui di kawasan Bangi, Selangor. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI