SEBERANG PERAI – Dua warga emas termasuk seorang yang bergelar Datuk dilaporkan mengalami kecederaan apabila kereta mereka naiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 166.7, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Jawi, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa terdiri dua lelaki berusia dalam lingkungan 70-an menaiki kereta jenis Nissan Murano.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Ahmad Zaki Sabri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pagi tadi.
Menurutnya, terdapat dua mangsa dalam kereta tersebut dan seorang daripadanya iaitu penumpang hadapan berjaya keluar dengan sendiri.
“Seorang lagi mangsa yang bergelar Datuk ditemui tersepit pada bahagian kaki di tempat duduk pemandu.
“Operasi mengeluarkan mengsa mengambil lebih kurang 20 minit dan mangsa dalam keadaan sedar dan stabil,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan pada kepala serta dada dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE