fbpx

Dakwa RUU Mufti gugat kebebasan rakyat tidak benar – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD NA'IM

PUTRAJAYA – Dakwaan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan namun, kebebasan tersebut tidaklah bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).

Jelasnya, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama dan hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri, atau ketua agama.

“Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar maka ia hendaklah berlandaskan Hukum Syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan merupakan ciri sebuah negara berdaulat kerana tiada seorang pun bebas melakukan sebarang pelanggaran terhadap prinsip keluhuran perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mendakwa RUU tersebut adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani dan mendakwa mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Sister In Islam (SIS) pula mendakwa, meluluskan RUU itu akan memberikan kuasa tanpa kawalan kepada pihak berkuasa agama kerana mereka akan kebal terhadap tindakan undang-undang, kata Sisters In Islam (SIS).

Menurut Mohd. Na’im, sekatan kebebasan seseorang itu tidak bermakna dakwaan berlaku perlanggaran terhadap hak asasi itu benar kerana keabsahan suatu hak asasi itu ditentukan oleh Perlembagaan.

Mengambil contoh, fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Katanya, terdapat juga sesetengah pihak yang keliru dan salah faham terhadap fungsi dan kuasa Mufti di bawah sistem perundangan negara.

“Sesungguhnya tindakan mempertikai kuasa Mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat adalah tidak berperlembagaan.

“Sebagai contoh, di bawah seksyen 35 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga diperuntukkan kuasa untuk melarang penggunaan apa-apa loji atau bahan yang pada pendapatnya mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang semasa bekerja,” katanya.

Beliau menjelaskan, kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu seperti Mufti dan Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Akta mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Manakala, pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang dan bukannya secara pentadbiran semata-mata.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

“Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana Mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat tentang hukum syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti).

“Selain itu, perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa Negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” katanya.

Justeru, Mohd. Na’im sekali lagi menegaskan, RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI