LONDON – Bintang Juventus, Paul Pogba kini dilaporkan sedang mengadakan rundingan lanjut dengan kelab Ligue 1, Marseille berhubung perpindahan yang mungkin berlaku pada jendela perpindahan Januari akan datang.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu telah berunding dengan kelab tersebut selama beberapa minggu dengan perjanjian yang mungkin dapat direalisasikan apabila Pogba dibenarkan menyambung latihan pada awal tahun depan.
Situasi itu berikutan pengurangan hukuman larangan bermain selama empat tahun akibat skandal doping yang dikurangkan kepada 18 bulan selepas Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) memutuskan bahawa Pogba tidak sengaja mengambil bahan terlarang.
Jika perpindahan itu berjaya, Pogba akan berpeluang bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Mason Greenwood yang telah menyertai Marseille pada Julai dengan kontrak lima tahun.
Biarpun Pogba tidak dapat bermain sehingga Mac 2025, perpindahan itu mungkin dapat direalisasikan seawal Januari sekali gus menjadikan langkah taktikal yang penting untuk Marseille bagi menambah kekuatan menjelang kempen Liga Perancis dan Eropah.
Pogba dijangka kembali beraksi di padang dalam perlawanan pertunjukkan, Kings Cup yang dijadualkan pada 30 November di Stadium Al Maktoum, Dubai yang menyaksikan bersama bekas bintang dunia seperti John Terry, Roberto Carlos, Michael Owen, Paul Scholes dan David Silva turut beraksi. – AGENSI