fbpx

ATM, MCMC meterai MoU tambah baik perkhidmatan jalur lebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad (kiri) bersama Mohamad Salim (kanan) bergambar semasa penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Wisma Pertahanan. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penambahbaikan perkhidmatan jalur lebar di premis ATM.

MoU itu diserahkan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman sebagai tanda jalinan kerjasama strategik antara MCMC dan ATM sempena peluncuran ‘Perajurit Broadband’.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, secara keseluruhannya sebanyak 73 kem tentera akan terlibat sebagai penerima manfaat menerusi pembangunan infrastruktur gentian optik atau dikenali sebagai Fibre To The Home (FTTH).

Beliau berkata, insiatif itu merupakan kelolaan bersama antara MCMC dengan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Markas ATM (MK ATM).

Mohamed (dua dari kiri) diiringi oleh Fahmi (dua dari kanan), Mohammad (kiri) dan Mohamad Salim (kanan) merasmikan Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband Program JENDELA KEMENTAH di Wisma Pertahanan. – Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

“Beberapa skop utama telah dipersetujui melalui MoU ini meliputi aspek peningkatan kesalinghubungan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar gentian optik, perkongsian maklumat dan data, pelaksanaan latihan, serta program-program kesedaran dan pembangunan insan.

“Kemudahan ini akan memberi manfaat dalam aspek kemudahan pendidikan, komunikasi dan kesejahteraan hidup warga ATM,” katanya di Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Wisma Pertahanan di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, sebanyak RM99 juta daripada RM21 bilion yang diperuntukkan untuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sejak tahun 2020 akan digunakan bagi inisiatif bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) tersebut.

“Secara asasnya, peruntukan ini akan digunakan untuk menjayakan tiga fokus utama iaitu, yang pertama kita mahu pastikan wujudnya Infrastruktur Fiber Optik di semua 73 kem atau pangkalan yang terlibat.

“Perkara itu menjadikan secara kasarnya melibatkan sebanyak 59,420 kediaman RKAT,” katanya.

Mohamed Khaled berucap ketika merasmikan Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband Program JENDELA KEMENTAH di Wisma Pertahanan. – Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

Selain itu katanya, fokus kedua ialah bagi menambah perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT.

“Yang ketiga, kita mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga MINDEF dan anggota tentera khususnya anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang dikategorikan sebagai golongan B40.

“Justeru itu, saya amat berbesar hati untuk berkongsi MINDEF akan melancarkan Inisiatif Perajurit Broadband yang menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps,” ujarnya.

Katanya, harga yang murah itu adalah satu pengiktirafan dan cara kerajaan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Sebahagian warga Angkatan Tentera Malaysia yang hadir pada perasmian Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband Program JENDELA KEMENTAH di Wisma Pertahanan. – Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

Dalam pada itu, Fahmi ketika berucap berkata, insiatif itu bagi memberikan impak signifikan dalam mempermudah urusan harian, termasuk aspek pendidikan, komunikasi, serta keselesaan hidup keluarga tentera.

Beliau berkata, selain meningkatkan kesalinghubungan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar, skop utama MoU ini turut meliputi aspek perkongsian maklumat dan data, pelaksanaan program latihan dan kesedaran serta pembangunan insan.

“Program kesedaran seperti panduan menggunakan Internet dengan betul dan beretika juga amat penting kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah warga ATM.

“Sehubungan dengan itu, program kesedaran seperti Klik Dengan Bijak, inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia dan kempen Check Your Label adalah antara inisiatif yang akan dilaksanakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI