KONSERT Festival Muzik Hausboom di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi saksi bahawa irama tradisional didahagai anak-anak muda. Gen Z bagai histeria mendengar lagu Kurik Kundi dan terlampau teruja sehingga bersama-sama mengalunkan qasidah awal lagu Nirmala dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza – ‘part’ yang lazimnya cuma vokal Siti kedengaran di konsert-konsert.
Terdahulu, pada Mei lalu, penulis yang berkesempatan ke Loop Muzik Festival di ibu kota turut menyaksikan ‘vibe’ sama saat Noraniza Idris menyanyikan lagu Tinting dan Dikir Puteri. Generasi muda dari sekecil-kecilnya berjoget-joget di lapangan stand walau hakikatnya mungkin ada antara mereka tidak pernah mendengarnya kerana belum lahir ke dunia saat lagu-lagu itu popular.
Ya, itulah fakta. Anak muda kita teruja dan ‘terkinja-kinja’ semasa mendengar lagu tradisional! Sengaja penulis guna perkataan ‘terkinja-kinja’ yang sering berkonotasi muzik moden, rap, hip hop, tekno, disko, rock dan sebagainya memandangkan responsnya setara.
Justeru, kalau ada yang menganggap irama tradisional tidak lagi diminati orang muda atau generasi sekarang, ia sebenarnya tidak tepat. Bahkan, irama tradisional itu kekal relevan sampai bila-bila. Bagi penulis, irama tradisional itu ada di dalam jiwa setiap orang terutama orang Melayu yang secara automatik mampu menyentuh sanubari, menggoyang tubuh dan mengundang gerak tari.
Pada saat ini, ada cakap-cakap tentang kerelevanan irama tradisional. Bagi penulis, itu bukanlah hal yang patut diperdebat kerana irama tradisional sentiasa relevan, sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah siapa yang hendak mencipta lagu-lagu tradisional zaman sekarang dan memperjuangkannya sebagai forte seorang komposer?
Kalau dibaca artikel yang saya tulis ini sendiri, pasti kalian sedar bahawa lagu-lagu epik ini kesemuanya adalah ciptaan legenda maestro Allahyarham Pak Ngah atau Suhaimi Mohd. Zain. Selepas Allahyarham meninggal dunia pada tahun 2018, bagai tiada siapa komposer yang menyerlah dalam menghasilkan lagu-lagu tradisional bertaraf ‘mahakarya’ sebegini yang mampu diminati semua.
Andai disenaraikan lagu-lagu popular bernuansa tradisional era moden (bukan era klasik) daripada mana-mana penyanyi pun, hampir kesemuanya ciptaan Pak Ngah. Cindai dan Nirmala nyanyian Siti menjadi fenomena sehingga ke Indonesia. Bahkan, lagu Cindai diletakkan di kedudukan No.1 lagu asal Malaysia terbaik yang masih popular di Indonesia oleh medcom.id baru-baru ini. Terdapat juga penyanyi negara China yang menyanyikan Cindai versi Cina.
Kurik Kundi, Balqis dan Ya Maulai jua ciptaan arwah. Tinting, Dikir Puteri dan Manira nyanyian Noraniza juga ialah ciptaan arwah. Begitu juga lagu fenomena Hati Kama dan Dondang Dendang nyanyian dua penyanyi ini juga ciptaan Pak Ngah.
Pak Ngah juga menghasilkan lagu popular Samrah Mentari nyanyian Datuk Jamal Abdillah, Candak dan Nazam Berkasih (Syura), Yayadan (Datuk Sharifah Aini) serta Ewah Ewah oleh Wany Hasrita yang sempat mendapatkan lagu daripada komposer itu sebelum menghembus nafas terakhir pada 2018.
Kini, irama tradisional baharu semakin tandus, sampai bila kita hanya mahu harapkan lagu-lagu malar segar lama ciptaan Pak Ngah untuk menawan hati khalayak?