KAMPAR – Lebih 110 kawasan risiko bencana banjir, tanah runtuh dan kepala air dikenal pasti di seluruh Perak menjelang peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hujung bulan ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Kolonel (PA) Rohaizat Hadli berkata, jumlah itu berdasarkan kajian kes dalam tempoh tiga tahun yang dibuat melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Selain itu, kita juga telah jalankan Op Ramah sejak Januari lalu untuk kita kenal pasti ancaman dan risiko ataupun kes kecemasan yang berada pada jarak 10 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) setiap hari.
“Setakat ini pemantauan khusus diberikan di daerah Kinta, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Kerian memandangkan kawasan itu sering dinaiki air setiap kali MTL,” katanya selepas meninjau Latihan Pusat Kontinjen APM Perak sempena Himpunan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan dan Latihan Luar Menghadapi MTL 2024 di Kompleks Rakan Muda Kampar, di sini hari ini.
Katanya lagi, pemantauan khusus akan terus dilaksanakan memandangkan jumlah tertinggi mangsa terjejas adalah dari Kerian yang bersempadan dengan Kedah dan Pulau Pinang.
“Bagi kawasan berisiko lain, pemantauan berkala tetap dilakukan bergantung kepada situasi pada waktu itu sama ada memerlukan pertambahan anggota atau sebaliknya,” uajrnya..
Tambahnya, sebanyak 1,000 anggota bersiap siaga bagi menghadapi MTL dengan kesemua aset bersedia digerakkan ke semua 12 daerah di negeri ini.
“Sebanyak 87 kenderaan darat seperti lori, kenderaan pacuan empat roda, ambulans, motosikal, bas serta van dan 54 kenderaan air iaitu bot dan ski jet juga akan digerakkan mengikut keperluan,” jelasny. – KOSMO! ONLINE