PETALING JAYA – Mereka yang suka masuk ke hutan termasuk menjalani aktiviti kembara (hiking) dinasihatkan tidak menjerit nama bagi mengelakkan diketahui oleh makhluk lain.
Hal ini bagi mengelakkan seseorang itu mengikuti makhluk yang disangka manusia, seterusnya hilang dipercayai masuk ke dunia lain.
Itu panduan dikongsikan seorang pengguna TikTok dikenali sebagai MyraYusof177 yang sering melakukan aktiviti lasak di dalam hutan, selain dipercayai bekas anggota polis hutan.
“Kalau masuk hutan dengan kawan, kawan jauh kat belakang. Kita pula tertinggal jauh dah ke depan. Jangan sesekali panggil nama dia.
“Nak panggil kita guna ‘signal’ macam ni, contohnya wo…wo (jerit). Jangan sesekali panggil nama, sebab kenapa tak boleh panggil nama?
“Ada makhluk kita tak nampak dalam hutan dan dia tahu nama kita, lalu dia panggil. Kita pergi ke arah dia dan ‘sap’ (hilang). Jadi ingat pesanan saya,” katanya berkongsi panduan tersebut.
Pada ruangan komen pula, ramai pengguna TikTok berkongsi panduan apabila berada di dalam hutan selain pengalaman pernah dilalui mereka.
“Masuk hutan baca doa Nabi Sulaiman untuk makhluk halus, baca doa Nabi Nuh untuk binatang buas. Dua doa ni wajib baca,” komen seorang pengguna dan ia turut dipersetujui oleh MyraYusof177.
“Pernah masuk hutan tiba-tiba ada orang panggil nama penuh aku. Cuak lepas tu ada seorang mak cik tu cakap, abaikan jangan menyahut,” cerita seorang pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@myrayusof1770 Replying to @diyadania ♬ Suspense, horror, piano and music box – takaya