PETALING JAYA – “Andai kata mak tengok video saya, mak Haikal sangat-sangat rindu mak… pulanglah,” itu rayuan seorang anak muda yang mengharapkan ibu melahirkannya kembali bertemu dengannya.
Pemuda tersebut dikenali sebagai Haikal yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), meluahkan kerinduan sambil menangis pada satu program anjuran tempat pengajiannya.
Menerusi video dimuat naik seorang lelaki yang juga pensyarah UPM dikenali sebagai Dr. Apitt, Haikal menceritakan dia dibesarkan oleh neneknya sejak kecil.
“Saya tak mempunyai ibu bapa, terima kasih prof kerana beri kebenaran kepada saya untuk bersalam dengan prof.
“Saya dijaga nenek dari kecil. Ayah dah meninggal, tapi mak ada. Tak pernah jumpa dari kecil,” katanya.
Kisah itu turut meruntun jiwa pelajar lain yang hadir ke program itu apabila mereka dilihat sedih serta menahan sebak.
Malah, mereka turut memberikan tepukan kepada Haikal serta bersorak nama pemuda tersebut sebagai tanda sokongan dan memberikan semangat untuk terus cekal.
Berdasarkan ruangan komen pula, ada yang berdoa semoga Haikal dapat berjumpa dengan ibunya.
“Faham sangat perasaan seorang anak yang merindui ibunya tambah lagi dia tak pernah tengok maknya. Sedangkan maknya masih hidup,” kata seorang pengguna TikTok.
“Mak cik sebak nak. Meh lah jadi anak mak cik. Masya-Allah, Haikal rindukan maknya,” komen individu lain. – KOSMO! ONLINE
@dr.apittSegalanya bermula di sini, Berilmu Berbakti 🥲