fbpx

Suami berhak halang isteri sertai ‘team building’ campur lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sukki (gambar kecil).

GEORGE TOWN – Si suami berhak menghalang isterinya daripada menyertai program ‘team building’ yang bercampur dengan peserta lelaki bagi mengelak tohmahan, ikhtilat dan khalwat.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menjawab demikian berhubung pertanyaan seorang pengguna mengenai hukum isteri menyertai ‘team building’ bersama peserta lelaki dan perempuan menerusi portal soal jawab agama, e-kemusykilan.

Menurut beliau, aktiviti yang bersentuhan fizikal, acara di sungai atau kolam dan persembahan tarian waktu malam merupakan bentuk ikhtilat yang diharamkan kerana tidak terdapat justifikasi syarak untuk membenarkannya.

Ikhtilat merupakan pertemuan atau pergaulan antara lelaki dan perempuan manakala khalwat adalah bentuk khusus ikhtilat, iaitu pertemuan antara seorang lelaki dengan seorang wanita tanpa kewujudan orang lain di sesuatu tempat.

“Ia bukanlah keadaan darurat, tiada keperluan dan maslahat yang besar dan program team building ini hakikatnya tiada halangan untuk disusun secara patuh syariah.

“Sebagai suami, dia perlu menghalang isteri daripada terlibat dengan program ini. Si Suami juga perlu membuat aduan dan boleh mencadangkan agar team building ini diasingkan aktivitinya antara lelaki dan perempuan.

“Kecuali, aktiviti yang bebas fitnah seperti ceramah (diasingkan tempat duduk) dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, khalwat dan ikhtilat merupakan jalan yang boleh membawa kepada maksiat dan hukumnya lebih berat berbanding ikhtilat kerana kebarangkalian berlaku maksiat dan kemudaratan itu lebih tinggi.

“Justeru, hukum asal bagi kedua-duanya dilarang dan khusus untuk khalwat, hukum asalnya adalah haram.

“Dalam menentukan sesuatu ikhtilat atau khalwat itu diharuskan atau tidak, perlu dilihat parameter yang ditetapkan ulama. Para ulama telah menggariskan keadaan-keadaan yang mengharuskan khalwat dan ikhtilat dengan melihat parameter tersebut yang digariskan berdasarkan hukum syarak.

“Antaranya seperti seseorang lelaki yang menjumpai seorang wanita yang sesat di jalanan, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia takutkan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian,” ujarnya.

Tambah beliau, contoh para ulama ini tidaklah mengehadkan keadaan yang mengharuskan sebaliknya menjadi panduan kepada kita dalam menentukan apakah sesuatu ikhtilat atau khalwat itu termasuk dalam kategori yang diharuskan atau tidak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI