KOTA TINGGI – Sesi persekolahan Johor Isnin hingga Jumaat akan dilaksanakan pada 1 Januari 2025 selaras dengan pertukaran cuti hujung minggu di negeri ini yang akan bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata diperingkat persekolahan juga perlu mengikutinya bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung pertukaran cuti hujung minggu itu.
“Bila sudah diumumkan 1 Januari 2025 kena ikut dengan tarikh berkenaan cuti sekolah itu. Jadi ia akan berterusan mungkin boleh praktikal dahulu pada bulan pertama (Januari) dari segi pengurusan pembelajaran dan transport anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir program Karnival Literasi Undang-Undang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata satu mesyuarat juga telah dilakukan berkenaan penyelarasan itu diantara Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan tiada masalah untuk perlaksanaannya.
“Cuma pada hari Jumaat sahaja sesi persekolahan akan tamat lebih awal pukul 12 tengah hari dan disambung pukul 2.30 petang untuk sesi petang ini akan lakukan pada tahun depan.- KOSMO! ONLINE