SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau langsung tidak mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan beliau tidak pernah mengarahkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh wanita asing tersebut.
Pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris, Najib menegaskan beliau tidak bersalah atas kejadian Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan di kawasan terpencil berhampiran Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.
“Saya tidak mengenalinya (Altantuya) langsung. Saya tidak pernah berjumpa dengannya dan saya tidak bersalah atas jenayah kejam itu,” katanya menerusi keterangan saksi dalam perbicaraan kes saman sivil hari ini.
Najib sebelum ini menyaman bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ mengenai kenyataan fitnah yang dibuat dalam buku yang didakwa mengaitkannya dalam pembunuhan Altantuya dalam bab 42.
Najib juga menamakan syarikat penerbitan buku GB Gerak Budaya Enterprise Sdn. Bhd. Thomas dan Gerak Budaya diwakili peguam Alan Adrian Gomez dan Datuk Ambiga Sreenevasan.
Pada prosiding sama, Najib menegaskan Thomas tidak pernah menunjukkan kepadanya kandungan Bab 42 sebelum diterbitkan dalam buku tersebut.
Tegasnya, adalah tidak benar bahawa beliau kononnya mendalangi pembunuhan Altantuya walaupun terdapat banyak artikel yang digunakan oleh Thomas dan Gerakan Budaya untuk mengaitkannya dengan jenayah itu.
Sebelum ini Najib pernah membuat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 2019 menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitannya dalam kes pembunuhan Altantuya.
Dalam pada itu, Najib menyatakan mengenali Datuk Abdul Razak Baginda sebagai penganalisis pertahanan dan terlibat dalam perjanjian membeli kapal selam.
“Saya hanya mendapat tahu daripada laporan media bahawa Razak Baginda kononnya adalah seorang jurubahasa. Saya tidak tahu apa hubungan Razak Baginda dan Altantuya. Namun, saya tahu akhirnya mereka mempunyai hubungan yang romantis,” katanya.
Prosiding perbicaraan akan disambung semula pada 30 Jun 2025. – KOSMO! ONLINE