MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Noussair Mazraoui mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh tertentu selepas menjalani satu prosedur ekoran mengadu tentang degupan jantungnya yang tidak teratur.
Mazraoui yang dibeli dari Bayern Munich dengan harga £17 juta (RM95.2 juta) pada musim panas lalu, dikeluarkan pada aksi separuh masa kedua ketika United seri tanpa jaringan menentang Aston Villa Ahad lalu, selain menarik diri daripada tugasan bersama pasukan kebangsaan Maghribi.
Meskipun masalah kesihatannya menimbulkan kebimbangan, pihak pengurusan kelab itu telah mengesahkan bahawa prosedur pembetulan kecil itu telah berjaya dilakukan dan pemain itu akan menjalani proses pemulihan.
“Tiada situasi kecemasan dan prosedur ini adalah untuk menangani keadaan yang agak biasa bagi pemain yang mengalami degupan jantung tidak teratur,” menurut kenyataan kelab.
Mazraoui dijangka pulih sepenuhnya dan mungkin kembali beraksi lebih awal daripada jangkaan sekali gus menangkis dakwaan dia mungkin berehat selama dua bulan, namun kelab mengesahkan bahawa tempoh pemulihannya mungkin lebih singkat.
Pemain berusia 26 tahun yang menyertai United pada Ogos lalu, telah menjadi pemain penting dalam skuad bimbingan Erik Ten Hag musim ini selepas tampil dalam semua 10 perlawanan United kecuali kemenangan Piala Carabao menentang Barnsley, serta mencatat satu bantuan gol semasa perlawanan menentang Brighton pada Ogos.
“Pemain berusia 26 tahun itu telah beraksi dalam semua tujuh perlawanan Liga Perdana untuk United setakat ini dan memperoleh satu bantuan gol semasa kekalahan 1-2 mereka kepada Brighton pada bulan Ogos,” tambah kelab. – AGENSI