CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi menekankan tentang kepentingan aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi mempersiapkan generasi masa hadapan terhadap kemajuan teknologi yang pesat dalam industri kreatif digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pada tahun ini, sejumlah 50.83 peratus pelajar telah mendaftar dalam aliran tersebut di sekolah, iaitu peningkatan daripada 45.72 peratus berbanding tahun lalu.
Justeru, katanya, kemajuan itu menunjukkan petanda baik untuk masa depan serta menjadi contoh jelas bagaimana pendidikan STEM dapat membentuk generasi akan datang.
“Saya rasa untuk kita terus mengembangkan industri (kreatif digital), kita memerlukan lebih ramai bakat dan kita juga lah yang perlu memupuk generasi muda ini bahawa STEM bukan lah subjek yang susah untuk mereka, tetapi seronok.
“Biar lah ini menjadi sesuatu yang diminati oleh anak-anak muda kita dengan memupuk minat mereka dalam bidang tersebut. Pada akhirnya, kita boleh melahirkan lebih ramai bakat untuk industri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cyberjaya Digital Creative Circuit (CIRc8) 2024 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE