PETALING JAYA – Seorang lelaki di China yang panik gara-gara isterinya mahu bersalin menarik perhatian ramai apabila secara tidak sengaja tertinggal pasangannya yang sedang sarat hamil di rumah.
Dalam hantaran di platform X, lelaki itu dalam keadaan tergesa-gesa memasukkan bagasi ke dalam kereta manakala isterinya pula berdiri di belakang kenderaan.
Namun, sebaik sahaja meletakkan bagasi, lelaki itu terus memandu kereta menuju ke hospital.
Orang ramai terhibur dengan gelagat lucu lelaki itu.
“Ini situasi yang sangat kelakar dan penuh tekanan. Nampaknya lelaki itu terlalu fokus untuk menyiapkan segala-galanya sehingga dia benar-benar terlupa tentang orang yang paling penting,” kata Cat Tien.
“Anugerah suami terbaik pergi ke dia. Tetapi niatnya betul,” ujar Magical.
“Bang, awak terlupa perkara paling penting,” komen Planet. – KOSMO! ONLINE