PUTRAJAYA – Malaysia-Rusia bersetuju dengan cadangan mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti di Rusia dalam usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasa Bahasa Melayu.
Persetujuan berkenaan dicapai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov pada Mesyuarat ke-3 Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg.
Zambry berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan secara lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.
“Ini juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi salah satu program dan kursus yang ditawarkan di beberapa buah universiti terkemuka di Rusia.
“Pengisian pembelajaran kursus ini termasuklah mengenai kesusasteraan Bahasa Melayu, sejarah Bahasa Melayu dan latar belakang Melayu dan Nusantara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, Kursi yang akan ditubuhkan ini dapat membantu memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama akan ditambah baik antara kerajaan Rusia dan Malaysia.
“Saya juga mengemukakan cadangan
untuk menghantar lebih ramai pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia dan pada masa sama menjemput pensyarah daripada Rusia untuk datang menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya di Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu KPT telah ditubuhkan di beberapa buah institusi
seluruh dunia seperti BFSU China, Ohio University (Amerika Syarikat), Leiden University (Belanda), Victoria University (New Zealand) dan Hankuk University of Foreign Studies (Korea Selatan). – KOSMO! ONLINE