fbpx

17,400 permohonan kewarganegaraan disemak setakat Oktober – KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 17,000 permohonan kewarganegaraan berjaya disemak setakat ini, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan kewarganegaraan paling banyak melibatkan kes anak angkat, anak jagaan, anak tidak sah taraf serta naturalisasi.

“Saya letak penanda aras tahun ini kita menyasarkan keputusan permohonan kewarganegaraan sebanyak 17,000 dan hari ini sudah cecah 17,400, ini baru bulan Oktober.

“Ada dua bulan lagi (menjelang hujung tahun), kita sudah capai sasaran 17,000 keputusan permohonan,” katanya pada Sesi Libat Urus dan Merarau Menteri Dalam Negeri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di sini tadi.

Saifuddin Nasution berkata, daripada jumlah permohonan yang dibuat, lebih 80 peratus adalah melibatkan kes bawah Perkara 15(A) Perlembagaan.

“Selamat untuk saya katakan daripada 17,000 (permohonan) itu, 80 peratus daripadanya adalah berkaitan anak angkat, anak jagaan, anak tidak sah taraf serta naturalisasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, semua permohonan di bawah Perkara 15(2) iaitu anak lahir luar negeri oleh ibu warganegara dan permohonan lama sudah selesai dibuat keputusan.

“Saya sebut buat keputusan, saya tidak kata luluskan sebab kalau anak duduk luar negeri, duduk di Amerika Syarikat, duduk di Dallas, satu momen pun tidak pijak kaki di sini, tapi angkat permohonan. Yang itu bukan pertimbangan kita untuk beri kelulusan.

“Dia (pemohon) kena tunjuk kesediaan untuk berada di sini sebagai contoh supaya (taraf) warganegara itu satu yang bernilai apabila kita pegang,” tegasnya.

Sebelum ini, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan dan membuat keputusan 17,000 permohonan kewarganegaraan pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI