LEIPZIG – Teka-teki mengenai masa depan pengendali berpengalaman, Jurgen Klopp terjawap selepas bersetuju dengan tawaran menjadi ketua operasi bola sepak antarabangsa syarikat Red Bull bermula Januari 2025 nanti.
Menurut Klopp, tawaran tersebut cukup sempurna kerana beliau enggan menjadi ketua jurulatih bagi mana-mana pasukan dalam masa terdekat memandangkan keghairahannya untuk berada di tepi padang semakin pudar.
“Seperti yang semua tahu, bermula 1 Januari 2025, saya akan menjadi ketua operasi bola sepak antarabangsa syarikat Red Bull dan cukup teruja dengan peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan.
“Selepas meletakkan jawatan selaku pengurus Liverpool, saya memang tidak mahu berada di tepi padang dengan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan dalam mana-mana pasukan.
“Namun, tiada siapa boleh menafikan cinta saya terhadap bola sepak dan tugas yang diberikan oleh Red Bull ini cukup sempurna dengan apa yang saya inginkan.
“Mungkin sekarang saya mahu memberikan fokus kepada pembangunan akar umbi selain memastikan Red Bull dapat terus mencungkil bakat pemain-pemain berkualiti pada masa akan datang,” katanya.
Sebagai rekod, Klopp meletakkan jawatan selaku pengendali The Reds pada penghujung musim lepas selepas membimbing pasukan itu sejak 2016.
Situasi terbaharu itu menyaksikan rata-rata peminat Liverpool berang dengan tindakan Klopp yang tidak mengambil masa lama untuk kembali aktif dalam dunia bola sepak biarpun bukan sekadar pengurus atau jurulatih di tepi padang. – AGENSI