fbpx

Kilang lebur besi secara haram, cemar Sungai Linggi didenda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Seremban. Gambar hiasan.

SEREMBAN – Sebuah kilang yang menjalankan peleburan besi secara haram serta turut mencemarkan Sungai Linggi didenda sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, semalam.

Syarikat, Cemerlang Metal Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Chia Chin Huat sebagai Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah di atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, premis yang terletak di lot 894, Batu 5 ¼, Jalan Seremban Jelebu, Seremban itu didapati telah melakukan kesalahan di
bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS)(Udara Bersih) 2014 iaitu tidak mengemukakan Pemberitahuan Bertulis bagi penggunaan ‘smelting furnace’ yang boleh mewujudkan satu punca pengeluaran baru.

Selain itu, turut melanggar Peraturan 3(1) PPKAS (Buangan Terjadual) 2005 iaitu gagal memberitahu Ketua Pengarah Alam Sekitar tentang tarikh pengeluaran, kategori dan kuantiti buangan terjadual yang dihasilkan serta Peraturan 9(1), PPKAS (Buangan Terjadual) 2005 iaitu gagal menstor buangan terjadual dalam bekas yang sesuai dan tahan lasak dan boleh mencegah pertumpahan atau kebocoran ke alam sekeliling.

Sehubungan dengan itu, pihak premis boleh dihukum di bawah Seksyen 41, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 29, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Pendakwaan telah dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Muhammad Fitri Soroni.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan satu operasi bersepadu kilang haram telah dijalankan ke premis tersebut bersama-sama dengan agensi penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen (JIM).

Semasa operasi dijalankan, sebanyak sebelas botol sampel diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya untuk dianalisa sebelum mendapati kandungan sampel yang diambil merupakan buangan terjadual.

Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kesan pencemaran yang menyebabkan pokok di kawasan belukar sekitar 150 meter radius mati dan terdapat limpahan sisa toksik di sekitar kawasan premis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI