PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir di lapan negeri sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia menjelaskan, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
“Cuaca sama dijangka berlaku di seluruh negeri Terengganu dan Putrajaya. Di Pahang pula melibatkan kawasan Kuantan, manakala di Selangor meliputi Kuala Langat dan Sepang,” lapor MetMalaysia menerusi satu kenyataan.
Sementara itu di Johor, cuaca buruk sama dijangka berlaku di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Hujan lebat turut diramal melanda Sarawak di Kuching, Serian, Samarahan dan Betong (Pusa dan Betong).
“Di Sabah pula melibatkan Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Tawau dan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan),” katanya. – KOSMO! ONLINE