fbpx

Hospital Bachok beroperasi November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci Hospital Bachok daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Zakaria Semail kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Kementerian Kesihatan, Mohd. Rashidi Yahaya pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Hospital Bachok hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

BACHOK – Hospital Bachok yang sebelum ini terbengkalai semasa proses pembinaannya selama tiga tahun secara rasmi memulakan operasi pada November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Hospital Bachok terletak di dalam kawasan Gunong di sini selain berada di tengah-tengah daerah Bachok iaitu 2.1 kilometer dari pekan Jelawat dan 1.3 kilometer dari persimpangan empat Gunong.

Menurutnya, luas keseluruhan tapak hospital itu terdiri daripada 20.32 hektar dengan keluasan tapak pembinaan adalah 8.9 hektar.

“Hospital yang mempunyai 76 buah katil itu terdiri daripada bangunan utama tiga tingkat yang merangkumi merangkumi dewan bedah, blok mekanik dan elektrikal selain pengurusan sisa bangunan ansilari, kolam tadahan dan pondok pengawal.

“Fasiliti di Hospital Bachok bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk sekitar daerah Bachok khususnya,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Hospital Bachok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu, kebanyakan kes berisiko sebelum ini dirujuk ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian yang terletak sejauh 15 kilometer dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu yang berjarak 20 kilometer.

Menurutnya, pembukaan Hospital Bachok secara tidak langsung menjimatkan kos perjalanan ke hospital selain memberi impak kepada sosioekonomi rakyat di daerah ini.

“Hospital Bachok amat dinantikan oleh penduduk tempatan di samping Klinik Kesihatan dan Klinik Desa sedia ada yang terhad kepada saringan dan rawatan awal sahaja.

“Saya yakin dengan penyerahan projek Hospital Bachok ia dapat memberi manfaat kepada rakyat. Besar harapan saya agar rakyat dapat menerima perkhidmatan kesihatan yang optimum demi kemaslahatan bersama,” ujarnya.

Hospital Bachok yang bernilai RM71.3 juta merangkumi 76 katil, dua bilik pembedahan, klinik pakar, tiga wad (lelaki, wanita, ibu dan anak), dewan bersalin, forensik, makmal dialisis, kecemasan, pengimejan, ruang sokongan perubatan, unit pentadbiran, latihan, blok pengurusan sisa sampah dan tempat letak kereta terbuka.

Projek tersebut sepatutnya siap pada Disember 2020 lalu, namun ia mengalami kelewatan ekoran masalah syarikat pemaju terdahulu yang mengalami isu kewangan selain tidak cukup pekerja akibat pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI