ALOR SETAR – Banjir yang melanda negeri di utara tanah air secara berulang kali sejak bulan lalu berpunca daripada pertembungan dua fenomena alam.
Pakar Sistem Maklumat Geografi (GIS), Shaharol Niza Omar berkata, banjir itu mengambil masa lama untuk surut disebabkan oleh pertembungan fenomena ‘supermoon’ dan peralihan monsun.
Fenomena supermoon berlaku di mana kedudukan Bulan berada hampir dengan Bumi dan tarikan graviti Bulan menyebabkan kejadian air pasang besar melebihi tiga meter.
“Fenomena ini yang berlaku empat kali dalam empat bulan sejak Ogos lalu bertembung dengan peralihan monsun yang bermula 24 September sehingga awal November ini. Peralihan monsun ini membawa angin kencang dari pelbagai arah, diikuti hujan lebat.
“Keadaan itu menyebabkan banjir susah untuk surut kerana air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, ketika fenomena supermoon berlaku, jarak Bumi dan Bulan sejauh 357,000 kilometer (km) berbanding kebiasaan 380,000 km yang menyebabkan imej Bulan kelihatan lebih besar kira-kira 14 peratus.
“Semua pihak harus berjaga-jaga kerana awal November ini kita akan ‘bertemu’ dengan Monsun Timur Laut. Selain itu fenomena supermoon dijangka berlaku kali terakhir tahun ini pada 15 November ini.
“Pada tahun-tahun sebelumnya berlaku banjir tetapi tidak seteruk kali ini kerana pertembungan dua fenomena ini tidak berlaku. Kali ini keadaanya menjadi lebih teruk disebabkan oleh pertembungan dua fenomena alam tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE