PETALING JAYA – Delegasi Malaysia akan terus bekerja keras di hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan pada hari ini demi kemakmuran Malaysia dan ASEAN keseluruhannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, delegasi Malaysia juga turut memanfaatkan sepenuhnya waktu untuk bertemu delegasi Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat, selain Forum Ekonomi Dunia (WEF).
“Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN yang padat di Vientiane, Laos PDR semalam dengan 13 agenda keseluruhan membabitkan persidangan pimpinan ASEAN bersama China, Korea Selatan, Jepun, Australia, India dan Kanada.
“Insya-Allah, delegasi Malaysia akan terus bekerja keras di hari terakhir persidangan hari ini demi kemakmuran Malaysia dan ASEAN keseluruhannya,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung pada 8 sehingga 11 Oktober di Vientiane, Laos.- KOSMO! ONLINE