fbpx

Cuti Sabtu Ahad tidak kurangkan kedudukan Islam di Johor – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN Hafiz Ghazi.

JOHOR BAHRU – Pertukaran cuti hujung minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad berbanding Jumaat dan Sabtu tidak akan mengurangkan kedudukan dan martabat agama Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik, sebaliknya keputusan diambil adalah selepas mengambil kira manfaat kepada semua pihak.

“Mendapat pandangan Mufti Besar dan Exco Agama Negeri Johor, ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025.

“Jika kita merenung firman Allah dalam Surah Al-Jumuah ayat 9 dan10, kita akan lebih tenang dalam memberi ulasan perihal yang sama iaitu ‘Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, intipati firman tersebut memerintahkan umat Islam pada hari Jumaat memperbesarkan syiar agama dengan segera meninggalkan segala urusan dan bersegera bagi menunaikan solat Jumaat.

“Namun seusai solat Jumaat ditunaikan, kita bahkan diperintahkan untuk kembali bertebaran termasuk kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah di atas muka bumi mencari apa yang dihajati selagi mana bertepatan dengan landasan Islam.

“InshaAllah, tanpa mengetepikan kepentingan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal beri manfaat kepada seluruh rakyat Johor dimana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga dengan memudahkan mereka merancang aktiviti hujung minggu,” ujarnya.

Onn Hafiz berkata, pihaknya berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan sekaligus menjadikan ia bahan politik yang boleh menjejaskan keharmonian negeri Johor.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pertukaran cuti hujung minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad untuk berpindah ke negeri yang masih bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI