LANGKAWI – Balu kepada juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk yang meninggal dunia kerana terjatuh menerima bantuan dan faedah di bawah Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini.
Pengurus Perkeso Langkawi, Nor Hanani Abdul Hamid yang mengetuai lawatan Skuad Prihatin Perkeso ke rumah balu Khairul Nizam Jaafar, Zunirah Othman, 39, menyerahkan faedah Perkeso dan Kotak Prihatin berisi makanan asas kepadanya.
“Perkeso memberi faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 kepada balu dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada balu dan anak-anak secara bulanan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan tersebut kepada Zunirah di rumahnya di Kampung Padang Kandang, Padang Matsirat, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, FOT tersebut akan diberikan sepanjang hayat balu dan sehingga 21 tahun atau sehingga anak-anak selesai melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah buat pertama kali.
Dalam pada itu, Zunirah yang bekerja sebagai penolong pembantu tadbir di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berterima kasih dengan kepantasan tindakan Perkeso meringankan bantuannya.
Mayat Khairul Nizam Jaafar, 41, yang bertugas sebagai juruteknik di lokasi pelancongan itu ditemukan pada pukul 5.11 petang pada 3 Oktober setelah mangsa terjatuh dari besi penahan platform kaca tersebut pada ketinggian 40 meter. – KOSMO! ONLINE