SHAH ALAM – Pelakon Rita Rudaini mengundang perhatian ramai apabila tiba bersama dua anak lelakinya ketika melalui karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-36 malam ini.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 48, yang menggayakan dres labuh rona hitam senada dengan sut Airit Ryyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna teruja apabila anak-anak setuju menemaninya.
“Saya yang ajak mereka ikut dan mereka sedia menemani saya,” katanya.
Sementara itu, anak bongsunya, Qaqa mengharapkan kejayaan mengiringi ibunya pada malam kemuncak tersebut.
“Saya harap mummy menang sebab dia ‘the best’ (terbaik) memang saya yang tawarkan diri untuk teman mummy malam ini,” ujarnya sambil tersenyum.
Malam ini, pelakon filem Mami Jarum itu bakal berentap dengan empat lagi calon finalis iaitu Alya Iman, Amyza Aznan, Puteri Sarah Liyana dan Bella Hanna dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular. – KOSMO! ONLINE