fbpx

2 askar Indonesia cedera dibedil kereta kebal Merkava

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA kebal Merkava dilihat di rantau Galilee dekat sempadan Lebanon pada 24 Oktober 2023. – AFP 

BEIRUT  –  Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa Israel membedil ibu pejabat mereka di selatan Lebanon semalam, menyebabkan dua askarnya cedera.

Serangan Rejim Zionis itu mencetuskan kecaman daripada anggota-anggota tentera Eropah yang menyertai misi pengaman tersebut. Misi pengaman PBB di Lebanon dikenali sebagai UNIFIL.

Israel bahkan mengaku bahawa tenteranya melepaskan tembakan di kawasan itu dengan alasan kononnya menyasarkan pejuang Hezbollah yang berhampiran pos UNIFIL.

Itali yang menjadi penyumbang utama tentera UNIFIL berkata, tindakan itu ‘boleh dianggap sebagai jenayah perang’, manakala Washington menyatakan bahawa pihaknya ‘sangat bimbang.’

Insiden itu berlaku selepas misi pengaman PBB minggu lalu menolak tuntutan Israel untuk ‘berpindah’ daripada beberapa kedudukannya.

UNIFIL yang menempatkan kira-kira 10,000 askar pengaman di selatan Lebanon, berulang kali menggesa gencatan senjata dilaksanakan sejak pertempuran antara Israel dan kumpulan Hezbolllah menjadi semakin sengit pada 23 September lalu.

“Pagi ini (semalam), dua anggota pengaman cedera selepas sebuah kereta kebal Merkava milik tentera Israel melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati ibu pejabat UNIFIL di Naqura,” kata misi PBB tersebut dalam satu kenyataan. 

Kedua-dua askar UNIFIL itu tidak mengalami kecederaan serius tetapi ‘mereka kekal di hospital’, tambah kenyataan tersebut.

Seorang jurucakap UNIFIL berkata, kedua-dua askar itu berasal dari Indonesia yang merupakan penyumbang utama tentera kepada UNIFIL.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Besar Indonesia di PBB, Hari Prabowo berkata, serangan itu ‘jelas menunjukkan Israel meletakkan dirinya di atas undang-undang antarabangsa’.

Israel berkata, tenteranya membedil pangkalan UNIFIL selepas memberitahu pasukan PBB itu supaya mencari perlindungan.

UNIFIL ditubuhkan dalam tahun 1978 untuk mengawasi pengunduran tentera Israel selepas mereka menawan Lebanon. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI