fbpx

Terbuka Arctic: Aksi kemas Sze Fei-Izzuddin ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan Izzuddin terus mempamerkan aksi meyakinkan ketika melangkah ke suku akhir Terbuka Arctic. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bermandi peluh sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, juara Terbuka China itu memerlukan masa 41 minit untuk menjinakkan pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-16, 21-16.

Beraksi sebagai pilihan kelima, Sze Fei-Izzuddin sedikit tersentak di awal set pertama apabila ketinggalan 2-5 sebelum mereka melakukan kebangkitan untuk mendahului perlawanan 12-8.

Meskipun pasangan Jepun tidak mengaku kalah dengan cuba merapatkan kedudukan 14-16, namun beregu negara kekal tenang dan bermain seperti biasa sebelum menang 21-16 dalam tempoh 19 minit.

Memasuki set kedua, gandingan No.8 dunia itu seolah-olah mendapat semangat tambahan apabila menampilkan aksi cukup kemas untuk mendahului permainan dengan jurang mata cukup besar 6-1 bagi meletakkan lawan dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun, Mitsuhashi-Okamura tidak mengibar ‘bendera putih’ terlalu awal apabila melakukan kebangkitan dengan memberikan tentangan sengit dan berjaya merapatkan kedudukan 9-11.

Sedar dengan kebangkitan pasangan Jepun, Sze Fei-Izzuddin mula memperkemaskan permainan dan berjaya menjarakkan kedudukan 16-13 sebelum melengkapkan kemenangan 21-16 di set kedua dalam tempoh 22 minit.

Menjelang aksi suku akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang antara pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan beregu Denmark, Rasmus Espersen-Christian Faust Kjaer. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI