fbpx

Majlis Gabungan Kesatuan Sekerja Pos sambut baik jaminan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Majlis Gabungan Kesatuan Sekerja Pos (MGKP) menyambut baik jaminan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tiada pekerja Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan kehilangan pekerjaan disebabkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robot dan dron.

Pengerusinya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, MGKP menghargai komitmen kerajaan iaitu teknologi akan digunakan untuk memperkukuh keupayaan perkhidmatan Pos Malaysia tanpa menjejaskan peluang pekerjaan sedia ada.

“MGKP ingin mengingatkan penggunaan teknologi tidak seharusnya hanya ditumpukan kepada peningkatan kecekapan operasi, tetapi perlu juga dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan taraf hidup pekerja melalui penambahbaikan dalam persekitaran kerja dan peluang peningkatan kerjaya.

“Kami percaya bahawa melalui kerjasama yang erat antara pihak majikan, kerajaan, kesatuan pekerja, serta syarikat dan pengurusan, kita dapat mencapai keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kesejahteraan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pos Malaysia mempunyai kira-kira 18,000 pekerja.

Terdahulu, Mohd. Effendy berkata, penggunaan teknologi dalam operasi Pos Malaysia adalah langkah positif untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan, namun perlu diselaraskan dengan memastikan semua pekerja mendapat manfaat daripada perubahan tersebut.

Justeru, katanya, MGKP mencadangkan agar pihak syarikat dapat menyediakan program latihan berstruktur yang melibatkan konsep peningkatan kemahiran seperti ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ bagi membantu pekerja menguasai kemahiran baru yang mungkin diperlukan apabila teknologi seperti AI, robot, dan dron diterapkan.

“Ini memastikan pekerja sedia ada boleh menyesuaikan diri dengan tugas-tugas baru dan terus relevan dalam suasana kerja yang berubah. .

“Langkah-langkah ini akan memastikan pekerja kekal kompetitif dalam pasaran pekerjaan serta memastikan kelangsungan syarikat dalam menghadapi cabaran industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI