KUALA LUMPUR – Aktiviti tidak bermoral warga asing di sebuah pusat pelacuran dikenali sebagai ‘rumah merah’ di Jalan Petaling, di sini terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, malam tadi.
Serbuan bermula pukul 8.30 malam itu dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh berhubung aktiviti tersebut.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, seorang lelaki tempatan turut berperanan mengawal ketat di luar premis bagi memastikan operasi mereka tiada diganggu pihak berkuasa.
Pemeriksaan di setiap bilik juga turut menemui beberapa pelanggan warga tempatan dan asing di dalam premis berkenaan.
Premis tersebut juga didapati dibahagikan kepada beberapa bilik kecil dilengkapi katil bagi menempatkan setiap wanita warga asing itu.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, 12 wanita Indonesia berusia 21 hingga 38 tahun ditahan.
Katanya, kesemua wanita ini diambil tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tiga pelanggan warga tempatan telah diberi notis saman saksi untuk hadir ke pejabat imigresen, manakala dua lagi iaitu warga Nepal dan India diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut menahan empat lelaki tempatan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurutnya, dipercayai premis ini telah aktif setahun dan pelanggan datang secara ‘walk in’. – KOSMO! ONLINE